Wednesday, October 6, 2010

Kekuatan Iman dan Ukhuwwah.

Ustaz coretkan ini buat anak-anak JAPIM khususnya. Memandang wajah kalian terkadang mengingatkan ustaz pada zaman ustaz di universiti dulu. Sesekali terasa gembira dan bersyukur kerana dapat mengenali antum semua. Namun sesekali terasa sedih kerana tak mampu berkongsi segala pengalaman dan sedikit ilmu yang sempat ustaz terima semasa di bangku universiti dahulu. Bukan kerana ilmu-ilmu yang ustaz pelajari di kuliah-kuliah, tetapi pengalaman bersama rakan-rakan yang sama-sama mencintai Allah dan Rasul. Waktu itu, kami sama-sama bergelumang meneliti karangan-karangan ulamak-ulama muktabar yang terbukti kefahaman dan kesungguhan mereka di atas jalan dakwah dan jihad. Buku-buku fikrah karangan Imam Hassan Al-Banna, Fathi Yakan, Mustafa Masyhur, Syed Qutb dsb sentiasa di tangan kami. Bila dapat berkumpul waktu makan dan hari-hari cuti, tiada tajuk yang lebih menarik selain perbincangan tentang kandungan kitab-kitab yang kami baca. Ukhuwwah yang terjalin kekal sampai ke hari ini dan kadang-kadang kami sama-sama menangis terharu mengenangkan kisah-kisah indah di universiti dahulu. Inilah dia kekuatan yang Islam inginkan daripada anak-anak sekelian. Kata Umar Al-Khattab, kekuatan iman adalah yang pertama, kedua; kekuatan ukhuwwah dan yang ketiga; kekuatan persenjataan. Jika kita belum kuat yang pertama, bagaimana akan kita raih kekuatan yang kedua? ketiga? dan seterusnya. Oleh itu, ustaz sentiasa bercita-cita untuk berkongsi semuanya dengan antum. Malah rasa tanggungjawab ini menjadi hambatan dalam hidup ustaz. Ustaz bimbang Allah akan persoalkan ustaz di akhirat nanti. Tapi satu perkara yang paling penting, ustaz tak boleh buat kerja sebesar ini seorang diri. Semoga Allah akan permudahkan untuk ustaz satu hari nanti. Setidak-tidaknya walaupun satu detik sebelum menghembus nafas terakhir untuk pulang menghadap Yang Maha Pengampun. Sekian.

No comments: